Refleksi Jumaat: Pisang Yang Berbuah Berkali-kali

Assalamualaikum. Refleksi hari ini dipetik daripada buku Nota Fikir untuk Zikir tulisan Pahrol Mohd Juoi.

Allah ciptakan sesuatu tidak sia-sia. Pasti ada pengajarannya buat manusia. Ambil contoh pokok pisang.

Pisang tidak akan berbuah dua kali. Selepas ia berbuah kali pertama, ia terus mati. Tetapi ingat, pisang mati bukan hanya selepas meninggalkan buahnya ... Sebaliknya akan meninggalkan 'anak-anaknya' dan kita akan dapat menikmati buah pisang lagi walaupun pisang yang dulu telah mati.

Pokok pisang mengajar kita agar sentiasa berjasa. Jangan berhenti melakukan kebaikan walaupun setelah kita mati. Malah buat pisang tidak akan mati selagi ia tidak mengeluarkan buah. Selepas berbuah barulah ia mati.

Maksud sabda Rasulullah SAW, selepas kematian anak Adam ( manusia) semua amalannya akan terhenti kecuali tiga - ilmu bermanfaat yang diajarkan, anak soleh yang mendoakan dan amal jariah yang ditinggalkan. Itulah tig kebaikan yang terus hidup walaupun kita telah mati.

Oleh itu manusia perlu menjadi seperti pokok pisang yang terus berjasa iaitu dengan membuat persiapan bagi membuat satu di antara tiga jenis kebaikan yang Rasulullah sebutkan atau dua atau tiga daripadanya sekali.

Katalah seseorang itu masih bergelar pelajar. Sebagai pelajar, dia mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat ilmu. Ilmu itu dapat diajarkan atau disampaikan kepada orang lain. Sebelum memasuki alam pekerjaan pun, iaitu semasa belajar di kolej atau universiti, seseorang pelajar itu boleh menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Misalnya melalui laman blog yang diisi dengan tulisan yang sarat dengan ilmu dan perkongsian pengalaman. Manfaat itu akan terus mengalir selagi blog wujud dn tulisan-tulisan itu wujud.

Setiap orang, tidak kira apa statusnya dalam masyarakat, mesti menjadi anak yang soleh kepada ibu bapa masing-masing. Natijahnya nanti, insya Allah anak-anaknya akan menjadi anak yang soleh juga.

Tentang amal jariah, kita mesti berusaha mendapat kedudukan yang baik dari sudut kewangan atau ekonomi. Apabila kita sudah menjdi orang kaya, bersyukurlah. Cara bersyukur yang sebaik-baiknya adalah dengan melakukan kebaikan yang berterusan seperti membiayai pembinaan rumah anak-anak yatim, masjid dan institusi lain yang terus memberi kebaikan walaupun kita sudah meninggal dunia.

Setiap orang mesti bersedia membuat kebaikan yang berterusan. Ini merupakan pengajaran hebat yang dapat kita contohi daripada pokok pisang yang terus menerus memberi kebaikan selepas kematiannya.

Tidak salah kalau dikatakan, pisang sebenarnya berbuah 'berkali-kali'. Dan setiap orang harus mencontohi itu-melakukan kebaikan yang tidak akan berhenti dengan kematian kita. Bahkan orang yang berjaya sentiasa berfikir untuk membuat satu kebaikan yang terus hidup selepas kematiannya!




Labels: