Refleksi Jumaat : Perihal Menjaga Lidah

Assalamualaikum.

Renungan pada hari Jumaat ini diilhamkan daripada novel online yang sedang dibaca. Perihal tajuk novel tidak perlu disebut di sini. 

Namun, saya tertarik untuk memetik satu pengajaran iaitu tentang pentingnya menjaga lidah tatkala bercakap. Peringatan ini bukan saja untuk semua pembaca, malah untuk diri saya sendiri yang mudah lupa.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. “
(Surah al-Hujuraat, ayat 12)



Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kita. Sentiasa mengedit setiap perkara yang ingin kita perbualkan. Tanyakan pada diri kita, adakah ianya akan menyakiti hati orang lain? Adakah ia memberi manfaat kepada orang lain?

Tentunya kita tidak mahu orang membuka aib kita kepada orang lain. Benarlah kata pepatah:

"Perbuatan yang semudahnya ialah mencela, kerna mudahnya selalu dikerjakan orang. Pekerjaan yang sukar ialah memperbaiki diri, kerna sukarnya sentiasa ditinggalkan orang."

Saya fikir, baiklah kita mengaudit diri sendiri seperti yang selalu diajak oleh Prof Dr Muhaya. Hitung dosa kita, dan jangan terlalu berbangga dengan amalan yang dikerjakan. Yakinkah kita bahawa amalan-amalan kita ini akan melayakkan kita menerima buku amalan dengan kanan? Siapa kita untuk menghakimi, menghukum dan menghina orang lain? 

"Kerana  sesungguhnya, orang yang tidak suka menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu, belum tentu dia akan hina atau tidak. Tapi, perbuatan menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri kita sendiri." - HAMKA

Akhir sekali, saya ingin berkongsi sebuah hadis, iaitu:
"Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata-kata buruk dan kesat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Sekian.
Wassalam.





Labels: