Assalamualaikum.
Refleksi hari ini dipetik daripada buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia.
Ibrahim al-Khawas (w. 291H) : Sesiapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan (kelazatan) balasannya di dalam hati, itu petanda ia tidak jujur dalam meninggalkannya.
Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab az-Zuhd bahawa suatu hari, Umar bin al-Khattab berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Tiba-tiba, beliau melihat sepotong daging. Umar bertanya, "Mengapakah ada daging di sini?" Abdullah menjawab, "Aku teringin hendak makan daging, jadi aku membelinya."
Umar bertanya, "Apakah cukup setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan oleh seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu, lalu ia memakannya."
Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam kitab yang sama, suatu hari Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah yang sedang membawa daging dari pasar. Beliau bertanya, "Apakah yang engkau bawa itu, wahai Jabir?"
Jabir menjawab, "Ini daging. Aku membelinya sebab ingin makan daging." Sekali lagi Umar berkata, "Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau membelinya?"
Wahai pembaca sekalian, marilah sentiasa kita menilai setiap kali ke bazar Ramadan, apakah yang ingin dibeli itu keinginan atau keperluan? Janganlah nanti, ia menjadi pembaziran dan dibuang tanpa langsung dimakan.
Wassalam.